Posts

Showing posts from November, 2022

Tangguh

Kadang-kadang aku rasa sikap bertangguh yang aku ada ini adalah satu kemahiran. Sebab rasanya aku sangat mahir dalam bidang ini. Kalau tangguh sejam dua, itu kira sangat sihat. Kalau tangguh sehari dua, mungkin boleh dimaafkan. Kalau seminggu dua, pastinya alasan apa pun sudah tidak berguna. Kalau sebulan dua? Setahun dua? Barangkali aku perlu berehat sebentar, dan beri peluang kepada diri sendiri untuk satu ruang keinsafan, atau mungkin ruang keinsafan ini akan jadi satu hentian yang mana menambah lagi pertangguhan yang sedang berjalan. Apapun, nasihat aku untuk semua, jangan bertangguh. Mungkin ada banyak perkara yang anda akan rugi dengan sikap ini.

Kelewatan

Ini adalah sepatutnya hasil kedua dari aku. Sejujurnya, tiada kerahsiaan, ini adalah satu kelewatan. Aku tidak akan menggunakan alasan minggu kuarantin atau kesakitan akibat Covid-19. Kecuaian ini milik aku dan ianya perlu ada hukuman. Dengan ini, secara rasminya, setiap pelajar akan mendapat markah percuma dalam kategori Pemasaan untuk Tugasan Blog. Markah ini akan diterangkan dengan lebih jelas di dalam kelas. Tapi, markah ini akan terhapus sekiranya anda juga ada menghadapi isu kelewatan seperti ini. Ini adalah satu contoh yang diharapkan agar mudah difahami oleh semua. Jadi, jangan lupa menulis setiap minggu. Jangan lupa patuhi masa yang ditetapkan. Untuk Minggu ke-4, penulisan adalah di bawah Kategori Bebas, harap maklum.

Pilihan

Dalam hidup kita, sentiasa akan ada pilihan. Untuk memudahkan perjalanan hidup kita, pilihan perlu dibuat. Kita boleh melambatkan proses membuat pilihan, tapi, lambat-laun, selalunya kita tetap perlu menghadapi pilihan yang sama kembali. Apabila tiba masanya, pilihan perlu dibuat walaupun ianya penuh ranjau, penuh risiko, penuh cabaran. Dengan pilihan yang ada, kita juga punya kuasa untuk menolak satu atau dua kemungkinan. Kita juga akan menjadi lebih kuat dengan setiap pilihan yang dibuat. Jangan takut untuk memilih, tetapi, pilihlah dengan baik. Tak semestinya pilihan kita betul, tapi percayalah, sekurang-kurangnya apabila pilihan dibuat, anda berani menghadapi kemungkinan tersebut, anda berani menghadapi risiko yang ada. Tahniah atas apa-apa sahaja pilihan yang telah dibuat.

Mula

Semasa tema ini dipilih, ada dua tiga skop yang boleh aku cakup dan kaitkan dengan apa yang berlaku dalam hidup aku buat masa ini. Tapi, rupanya, tak sampai 24 jam, satu tragedi berlaku. Aku mula mengajar Aplikasi Komputer pada tahun 2012. Dari 43 orang pelajar kelas tersebut, aku masih lagi tidak putus hubungan dengan 4 orang. Kami semua terkesan dengan kematian mengejut tunang kepada seorang ini. Mula bercinta dari bulan puasa baru ini, tarikh untuk ijabkabul pun sudah ada, 07 Januari 2023, apakan daya, perancangan Allah itu lebih hebat. Mungkin ia lebih kepada pengakhiran, tetapi sebenarnya, ia adalah perMULAan untuk rakanku ini untuk meneruskan kehidupan. Siapa sahaja yang mampu menghadapi kematian dengan tabah. Hatta, tidak adil untuk kita meminta mereka untuk terus kuat dan tabah. Apakah kita akan kuat dan tabah sekiranya kita di tempat mereka?